Pages - Menu

Monday 25 March 2013

HOT NEWS : Kerajaan Sarawak Timbang Saman ‘The Global Witness’




KUCHING (24 Mac 2013 - Utusan Borneo): Kerajaan Sarawak sedang menjalankan siasatan terperinci sama ada mengambil tindakan undang-undang terhadap ‘The Global Witness’ atas tuduhan liar menerusi penyebaran rakaman video berkaitan penjualan tanah perladangan yang kononnya melibatkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Taib yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar berkata, kerajaan sedang dalam proses mengumpul maklumat terperinci dan masih mempertimbangkan sama ada menyaman badan bukan kerajaan yang berpangkalan di London itu.

“Saya masih menjalankan siasatan apa sebenarnya yang berlaku. Saya tidak tahu tahap mana penyiasatan dan tindakan terhadap perkara ini, namun ia jelas menunjukkan mereka tidak berjuang untuk tujuan sebenar.

“Mereka ini hanya menyokong pembangkang, maklumlah pilihan raya sudah dekat… tiada siapa boleh menafikannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Dewan Serba Guna Kampung Lintang, Petra Jaya di sini, semalam.

Rakaman video menerusi kamera yang disembunyikan menunjukkan dua wanita yang mendakwa diri mereka sepupu Taib membincangkan tentang penjualan 5,000 hektar tanah perladangan milik syarikat mereka.

Ketika diminta mengulas apa tindakan balas kerajaan terhadap tuduhan itu, Taib berkata ia adalah satu dakwaan yang cuba menjatuhkan reputasi beliau.

“Saya telah menjawab dakwaan ini (Selasa lalu), sesiapa sahaja boleh mengatakan bahawa saya mempunyai ejen untuk melakukan sesuatu, tetapi itu tidak bermakna tuduhan ini boleh digunakan terhadap saya, sesiapa sahaja boleh membuat pengakuan itu,” tegasnya.

Pada masa sama, Taib menegaskan bahawa beliau tidak pernah membenarkan sesiapa untuk menjadi perantara dalam penjualan tanah negeri dan lesen pembalakan.

Tambahnya, beliau telah membuat deklarasi umum mengenai perkara itu sejak 1980-an semasa beliau memegang portfolio perhutanan.

“Kita mempunyai sistem di negeri ini dan kita berpegang kepada prosedur dan peraturan (kerajaan),” ujarnya.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Ghani, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dan tetamu kehormat lain.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...