Terjawab Sudah!!!! Mungkin ramai tertanya-tanya, siapakah antara mereka
yang terawal berjaya ‘menghidu’ kehadiran puak pengganas militan Sulu di
sini?
Jawapannya ada pada dua orang anggota polis bantuan FELDA yang ketika
itu sedang memancing ikan kira-kira pukul 4 pagi berhampiran Kampung
Tanduo yang terletak tidak jauh dari Felda Sahabat. Mereka berdua ketika
itu sedang bercuti.
Ketika sedang leka memancing, mereka ternampak sekumpulan lelaki
bersenjata itu tiba dengan bot panjang, lengkap berpakaian celoreng.
Menyedari kehadiran ramai lelaki yang ‘mencurigakan’ di kawasan
tersebut, anggota polis bantuan FELDA berkenaan berjaya menyusup keluar
dari situ dan memaklumkan apa yang mereka saksikan kepada pihak polis,
tanpa langsung disedari oleh pengganas yang rata-ratanya bersenjata api.
Tindakan berani anggota berkenaan tidak berakhir di situ, khidmat
pasukan polis FELDA juga kemudiannya terus digunakan untuk menjejaki
mereka yang terlibat.
Bagi Ketua Polis Bantuan FELDA, Datuk Jalaluddin Ibrahim, beliau
menghargai tindakan berani pegawai dan anggotanya walaupun mereka
berhadapan dengan risiko yang sangat besar.
"Mereka adalah antara benteng awal di sini, bahaya yang mereka hadapi
bukannya sikit namun keberanian mereka membantu pihak polis cukup
mengkagumkan".
"Bahkan mereka memberitahu saya, biar apa pun yang terjadi, mereka tidak
akan tinggalkan Felda Sahabat ini, mereka nekad terus melindungi harta
kita, nyawa penduduk serta peneroka,” katanya lagi
Sementara itu bagi Inspektor Muhammad Lamin, pengalamannya bertugas
selama 11 tahun di Felda Sahabat tidak sia-sia apabila khdimatnya
digunakan pihak polis untuk menjejaki persembunyian penceroboh yang
dimaksudkan.
"Saya berbangga kerana dapat menyumbang pengalaman saya dalam operasi
penjejakan…selama beberapa hari kami mendekati zon bahaya tanpa disedari
langsung oleh pihak pengganas.
"Terus terang, saya dapat lihat sendiri bagaimana pergerakan mereka, di
mana mereka bersembunyi malah sempat melihat aktiviti seharian pengganas
ini seperti lokasi tempat mereka mandi dan sebagainya.
"Tak banyak sikit, maklumat ini saya percaya telah membuatkan pasukan
keselamatan kita berjaya dalam beberapa siri pertempuran dari hari
pertama serangan hinggalah sekarang,” katanya yang telah lebih 20 tahun
berkhidmat sebagai anggota polis bantuan FELDA.
Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Ahmad Maslan baru-baru ini dipetik sebagai berkata, tahap
keselamatan di Felda Sahabat akan ditingkatkan ekoran kejadian
pencerobohan.
Ahmad berkata, beliau akan mencadangkan kepada pihak atasan supaya polis
bantuan Felda dibekalkan senjata api lebih canggih manakala anggota
Rela turut dibekalkan senjata api.
Malah, beliau juga bersetuju pihak pengurusan Felda sahabat menambah bilangan anggota Rela daripada 200 orang kepada 400 orang.
“Ini membolehkan tahap keselamatan dapat ditingkatkan supaya insiden
pencerobohan terutama yang boleh mengancam keselamatan keluarga Felda
tidak berlaku,” ujarnya.
- SUMBER
No comments:
Post a Comment