artikel ini telah dicoretkan pada september 2008...
JANGANLAH anggap apa yang saya tulis ini sebagai rasis atau berunsur
perkauman. Dalam suasana negara yang dipenuhi dengan isu sensitif
perkauman sekarang, tulisan ini hanyalah sebagai satu ingatan kepada
kita semua, terutamanya umat Islam.
Saya amat tertarik untuk merujuk kepada kenyataan bekas Menteri Besar
Selangor, Datuk Seri Dr. Khir Toyo yang membangkitkan mengenai ''ada
usaha oleh pihak tertentu (di Selangor) yang cuba menasihatkan pihak
masjid dan surau supaya tidak menggunakan pembesar suara semasa
melaungkan azan''.
Bagi saya petikan itu pelik bunyinya. Bagi saya ia juga amat serius.
Tidak pernah dalam sejarah 51 tahun merdeka, rakyat Malaysia sedang
menghadapi situasi seperti itu. Selama ini kita - Melayu, Cina, India,
Sikh dan lain-lain bangsa dan agama tidak pernah bercakap mengenai
perkara itu. Kita hormat antara satu sama lain. Soal agama Islam
terpelihara secara suci di dalam Perlembagaan negara. Justeru, petikan
semacam itu tidak pernah terlintas langsung atau termimpi akan
diucapkan.
Kini, ia berlaku. Ya benar, Dr. Khir bukan buat cerita mengarut. Ia
benar-benar berlaku di Selangor. Orang Pas, yang kini mula menguasai
jawatankuasa masjid dan surau di situ pun tercengang. Orang UMNO yang
masih lagi menganggotai jawatankuasa surau dan masjid pun terkejut.
''Sampai macam itu sekali tindakan mereka," kata seorang AJK sebuah
surau di Shah Alam kepada saya Jumaat lalu. Beliau ialah sahabat lama
saya, yang kami bertemu selepas solat Jumaat, lalu mengajak saya
bersembang. Sembang punya sembang, tiba-tiba beliau menyentuh mengenai soal
suraunya. Katanya, kira-kira tiga bulan selepas Pakatan Rakyat mengambil
alih kerajaan Selangor, seorang Exco kerajaan negeri itu, yang juga
seorang Ahli Parlimen dari parti DAP membuat kunjungan ke suraunya. Yang
peliknya, YB wanita itu datang pada waktu sebelum subuh.
Tanpa rasa malu-malu atau rasa bersalah, dia menasihatkan pengurusan
surau itu supaya tidak melaungkan azan dengan kuat menggunakan pembesar
suara, terutama pada waktu subuh. Katanya, ''hasil tinjauannya'' pada
waktu subuh itu, cuma ada imam, bilal dan dua tiga orang sahaja makmum.
''Kalau ada macam itu jangan kasi bangun oranglah (dengan azan)...'' katanya kepada imam yang ada di situ.
Semua yang ada terus 'terkedu'. Mereka berpandangan antara satu sama
lain. YB yang baru tiga bulan menjadi Yang Berhormat itu tahukah apa
yang dia cakap. Tidak sensitif langsungkah? Tidak sedarkah dia,
kira-kira 90 peratus penduduk di kawasan itu ialah orang Melayu beragama
Islam.
Jika diambil pendekatan isu yang berlaku sekarang, saya ingin
bertanya, siapakah yang rasis? Siapakah yang perkauman? Dr. Khirkah,
sayakah yang menulis Cuit ini? Atau, YB wanita berkaca mata itukah?
Sambil menulis kolum ini, saya menelefon seorang rakan saya, yang
juga seorang YB dalam Pakatan Rakyat. Dia mengakui memang berlaku. Hasil
perbualan saya, beliau berkata: ''…bukan teruk lagi, dah jadi kurang
ajar''.
Persoalan saya lagi, mengapa situasi seperti ini sudah mulai berlaku.
Saya tidak mahu mengulas lanjut, biarlah pembaca budiman membuat
analisis dan pernilaian sendiri.
Nak dijadikan cerita, tindakan YB wanita itu tidak habis di situ
saja. Dia juga, dikatakan sedang 'memaksa' Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) menurunkan semua tulisan jawi di semua papan tanda jalan di Kuala
Lumpur.
Sekali lagi ini cerita benar. Ia disahkan sendiri oleh rakan saya, YB
dari Pakatan Rakyat itu. Sebagai ganti untuk menurunkan tulisan jawi
itu, dia menuntut dinaikkan tulisan Cina dan Tamil bersama-sama tulisan
rumi.
''Yang ekstremnya, YB wanita itu siap bawa 'sample' berserta
spesifikasi papan tanda jalan tulisan Cina dan Tamil itu untuk
ditunjukkan kepada pegawai DBKL," kata rakan saya itu lagi. Seperti yang saya tanya di atas tadi, tidak sensitifkah YB wanita
itu? Jawapan saya ialah, dia memang sengaja tidak mahu sensitif.
Melihatkan kepada senario ini, barulah kita tahu, siapa sebenarnya
yang 'menyuapkan' ke mulut Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim
mengenai cadangan supaya diambil 30 peratus peruntukan Jabatan Agama
Islam Selangor (JAIS) untuk digunakan bagi kegunaan agama-agama lain.
Sekarang kita juga tahu siapa yang 'memegang tali' untuk menyuruh Khalid
membuat kenyataan supaya pintu UiTM dibuka kepada 10 peratus penuntut
bukan Melayu.
Yang jelas kita semua tahu, siapakah orang itu yang 'berkobar-kobar'
membangkitkan isu babi Sepang, sebaik saja dia melangkah kaki menduduki
bangunan SUK Selangor, tempoh hari.
Dan, sekarang baru kita juga tahu, suasana bercelaru yang sedang
berlaku - yang terbaru mengenai isu perkauman atau rasis itu memang
dirancang - secara sengaja, oleh pihak-pihak tertentu yang mahu melihat
suasana negara dan rakyat Malaysia tidak tenteram.
Akhir kalam, semoga Allah menyelamatkan kita semua. Amin.