Pages - Menu

Friday, 22 March 2013

TUNTUTAN FILIPINA MELALUI KESULTANAN SULU KE ATAS SABAH


IMBAS KEMBALI “Selagi Ada Bintang Dan Cekerawala”



Kerajaan Filipina pada Jun 1962 telah membuat tuntutan ke atas Sabah bagi pihak waris Kesultanan Sulu. Filipina pada masa itu mendakwa bahawa Sabah hanya dipajak dan bukannya dijual sepertimana termeterainya perjanjian antara Sultan Sulu dengan Baron Von Overback dan Alfred Dent pada tahun 1874, dan pajakan itu telah dibatalkan pada tahun 1958. Kerajaan British sememangnya mengakui kedaulatan Filipina keatas Sabah, namun enggan melayan tuntutanan itu.



Dalam pada itu juga, semasa pembentukan Malaysia sedang giat dilaksanakan, kerajaan Tanah Melayu ketika itu dikatakan tidak berhajat untuk mengembalikan Sabah kepada Filipina atau hanya membiarkan sahaja isu tuntutan itu menjadi penghalang kepada proses pembentukan Malaysia.


Oleh yang demikian, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk berunding pada Febuari 1963 namun gagal mencapai kata putus kerana kerajaan British enggan mengiktiraf kedaulatan Filipina ke atas Sabah. Hubungan dua hala Malaysia dan Filipina pada ketika itu tegang. 
 
Berdasarkan fakta sejarah dan bukti-bukti yang lain, Kesultanan Sulu dikatakan sudah tidak wujud lagi lama dahulu sekaligus menjadi faktor yang menolak tuntutan Jamalul Kiram III ke atas Sabah.



Berakhirnya legasi Kesultanan Sulu, semasa Sultan Sulu ketika itu Jamalul Kiram II menandatangani Protokol Madrid pada 1885 yang mengesahkan semua wilayah, kedaulatan, dan kuasa Kesultanan Sulu kepada Sepanyol dan menyerahkan kedaulatan Sabah kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (BNBC)


Protokol Madrid itu kemudiannya diiktiraf sah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada tahun 2003.
22 Januari 1878 satu penjanjian telah ditandangani oleh Sultan Sulu kepada Overback dan Dent setelah mendapat tahu bahawa Sultan Sulu juga mempunyai hak ke atas Sabah setelah dimaklumkan oleh Pemangku Gabenor Labuan dan Konsul Agung Borneo ketika itu iaitu, William Hood Treacher. Di dalam perjanjian itu, Sultan Sulu bersetuju menyerahkan kesemua tanah dan “hak pertuanan” meliputi kawasan dari sungai Sibuku hingga ke Sungai Padasan di Sabah kepada syarikat Overback dan Dent.
Pajakan yang dipersetujui oleh Sultan Sulu itu merupakan penyerahan kekal sebagaimana yang termaktub di dalam perjanjian “selagi ada bintang dan cakerawala”.

Di dalam perjanjian antara Sultan Sulu dengan BNBC pada 1878 pula, waris-waris Sultan Sulu telah menerima bayaran ‘cession’ sehingga ke hari ini, yang membawa maksud waris-waris Sultan Sulu mengakui Sabah telah diserah (ceded) , dan bukannya dipajak (leased) , kepada British North Borneo Company.

Kesultanan Sulu kemudiannya menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat pada 22 Mac 1915 iaitu Perjanjian Carpenter dimana Sultan Sulu menyerahkan sepenuhnya kuasanya ke atas wilayah-wilayah serta “kedaulatannya” kepada AS. Maka dengan kedua-dua penjanjian itu, sudah jelaslah Kesultanan Sulu tidak lagi wujud sebagai sebuah negara, mahupun sebuah kerajaan, tetapi hanya tinggal sebagai institusi beraja tanpa kekuasaan.

Isu pajakan Sabah kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara ini telah dibawa dua kali ke mahkamah, dan tahun 1939 adalah yang pertama. Keputusan Hakim Mahkamah Seksyen Borneo Utara memutuskan BNBC untuk terus membayar kepada waris-waris Kesultanan Sulu. Setelah Sabah menyertai Malaysia dan merdeka, pihak kerajaan telah meneruskan bayaran pajakan itu kepada Sembilan waris Kesultanan Sulu, setelah mengambil alih pemerintahan daripada pihak British.

Status Kesultanan Sulu sebagai sebuah kerajaan terus hilang ekoran Kesultanan Sulu telah menyerahkan wilayah-wilayah serta kedaulatannya kepada Filipina diikuti tindakan kerajaan Filipina berhenti mengiktiraf Sultan Sulu selepas kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986.


Oleh yang demikian, tuntutan Jamalul Kiram III dianggap tidak sah memandangkan Kesultanan Sulu tidak lagi wujud sebagai sebuah negara dan kerajaan, serta sudah hilang kedaulatan dan kekuasaannya kerana telah menyerahkan wilayah-wilayah serta kedaulatannya kepada Sepanyol, Amerika Syarikat dan Filipina. Tambahan pula, perjanjian pajakan itu diantara Kesultanan Sulu dengan BNBC dan bukannya antara waris Kesultanan Sulu dengan BNBC. Malahan Jamalul Kiram III tidak diiktiraf sebagai Sultan Sulu oleh mana-mana kerajaan, termasuk kerajaan Filipina dan juga waris-waris yang lain.


Sumber : Klik Sini


No comments:

Post a comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...