KUCHING (24 Mac
2013 - Utusan Borneo): Kerajaan Sarawak sedang menjalankan siasatan
terperinci sama ada mengambil tindakan undang-undang terhadap ‘The
Global Witness’ atas tuduhan liar menerusi penyebaran rakaman video
berkaitan penjualan tanah perladangan yang kononnya melibatkan Ketua
Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Taib yang juga
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar berkata, kerajaan sedang
dalam proses mengumpul maklumat terperinci dan masih mempertimbangkan
sama ada menyaman badan bukan kerajaan yang berpangkalan di London itu.
“Saya masih
menjalankan siasatan apa sebenarnya yang berlaku. Saya tidak tahu tahap
mana penyiasatan dan tindakan terhadap perkara ini, namun ia jelas
menunjukkan mereka tidak berjuang untuk tujuan sebenar.
“Mereka ini
hanya menyokong pembangkang, maklumlah pilihan raya sudah dekat… tiada
siapa boleh menafikannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui
selepas merasmikan Dewan Serba Guna Kampung Lintang, Petra Jaya di sini,
semalam.
Rakaman video
menerusi kamera yang disembunyikan menunjukkan dua wanita yang mendakwa
diri mereka sepupu Taib membincangkan tentang penjualan 5,000 hektar
tanah perladangan milik syarikat mereka.
Ketika diminta
mengulas apa tindakan balas kerajaan terhadap tuduhan itu, Taib berkata
ia adalah satu dakwaan yang cuba menjatuhkan reputasi beliau.
“Saya telah
menjawab dakwaan ini (Selasa lalu), sesiapa sahaja boleh mengatakan
bahawa saya mempunyai ejen untuk melakukan sesuatu, tetapi itu tidak
bermakna tuduhan ini boleh digunakan terhadap saya, sesiapa sahaja boleh
membuat pengakuan itu,” tegasnya.
Pada masa sama,
Taib menegaskan bahawa beliau tidak pernah membenarkan sesiapa untuk
menjadi perantara dalam penjualan tanah negeri dan lesen pembalakan.
Tambahnya, beliau telah membuat deklarasi umum mengenai perkara itu sejak 1980-an semasa beliau memegang portfolio perhutanan.
“Kita mempunyai sistem di negeri ini dan kita berpegang kepada prosedur dan peraturan (kerajaan),” ujarnya.
Hadir sama
Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun
Abang Openg, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk
Fadillah Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi
Ghani, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman,
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman
Ghazali, ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Demak Laut Dr
Hazland Abang Hipni dan tetamu kehormat lain.
No comments:
Post a Comment