Pages - Menu

Friday 15 February 2013

Fitnah – Wan Ahmad Saman Mat Sabu


Penulis amat tertarik dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar semalam yang menyatakan akan mengemukakan saman terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu. Ia ekoran dakwaan yang dibuat sebelum ini kononnya Wan Ahmad adalah antara individu yang bertanggungjawab dalam projek kad pengenalan di Sabah.


Seperti yang kita semua sedia maklum sebelum ini, rata-rata pimpinan pakatan pembangkang sering melemparkan pelbagai fitnah dan tohmahan baik kepada pemimpin negara mahupun kepada ketua-ketua agensi dan jabatan yang berkaitan dengan kerajaan.

Tujuan mereka cuma satu, iaitu mencalarkan imej badan-badan yang terbabit agar dipandang serong oleh masyarakat. Walhal apa yang dikatakan itu tiada asas kebenarannya. Lihat sahaja bagaimana mereka mencemar dan merosakkan imej badan kehakiman, PRDM, SPRM, SPR sehinggalah kepada institusi Diraja semata-mata untuk menghakis keyakinan rakyat.

Apabila persepsi itu sudah berjaya disebatikan di dalam minda masyarakat, maka dengan mudah mereka akan meletakkan semua kesalahan kepada kerajaan BN/Umno sebagai punca segala masalah.

Sebagai contoh sekiranya ada mana-mana individu mahupun pemimpin pakatan yang didapati bersalah melakukan sebarang kesalahan, mereka akan mengatakan ia adalah merupakan arahan kerajaan BN/Umno untuk melemahkan gerakan pembangkang. Tetapi bila mana keputusan itu menyebelahi mereka, maka ia dikatakan sebagai satu kemenangan kepada gerakan pembangkang.

Seperti yang kita sedia maklum, setiap maklumat atau perkara walaupun ia bohong dan fitnah, namun sekiranya diulang saban hari, maka lama kelamaan masyarakat akan terpedaya dan merasakan ia mempunyai asas kebenaran. Cuba kita lihat bagaimana mereka menanamkan persepsi di minda masyarakat dengan mengatakan kerajaan BN/Umno rasuah.

Sehinggakan ada penyokong mereka di kampung bila membuka mulut akan mengatakan kerajaan ini sering mengamalkan rasuah. Namun sekiranya kita minta mereka menerangkan dengan lebih lanjut mengenai rasuah yang dilakukan oleh kerajaan, sudah pasti mereka tidak akan mampu menghurai dan menjawab.

Begitulah licik dan hebatnya gerakan pembangkang dalam menimbulkan persepsi di minda masyarakat bagi memastikan hanya maklumat yang memberikan kelebihan kepada mereka di terima oleh sekelompok masyarakat.

Namun penulis merasakan beban kesilapan perlu diletakkan kepada agensi yang terbabit kerana gagal mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengekang perkara ini dari terus berleluasa. Mereka seharusnya lebih peka dan tegas dengan gerakan pembangkang yang memang terkenal dengan strategi ‘matlamat menghalalkan cara’.

Oleh yang demikian, tindakan Wan Ahmad mengemukan saman terhadap Mat Sabu adalah merupakan satu tindakan wajar dan perlu dilakukan. Selain membersihkan imej dan reputasinya, ia juga mampu memberikan pengajaran kepada pimpinan pembangkang agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan.

Tindakan itu juga, secara tidak langsung mampu membuka kembali minda masyarakat yang selama ini terpedaya dengan tipu helah pakatan. Bak kata pepatah ‘Berani Kerana Benar, Takut Kerana Salah’. 

Sumber : Klik Sini

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...