Syarikat-syarikat
di Malaysia boleh membantu meningkatkan martabat bahasa Melayu dengan
menggunakan bahasa kebangsaan itu dalam penjenamaan produk mereka.
Felo Penyelidik
Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata penggunaan bahasa Melayu dalam
penjenamaan dapat menimbulkan sentimen 'kuasa' dan rasa bangga kepada
individu yang menggunakan produk itu.
Sebagai contoh,
katanya kereta buatan negara pada awal pasarannya diberi jenama bahasa
Melayu seperti Saga, Wira, Perdana, Kancil, Kenari dan Kelisa tetapi
kini menggunakan nama-nama Inggeris seperti Savy, Gen-2, Exora, MyVi dan
Viva.
"Ini negara
kita. Patutnya kita berbangga dengan bahasa Melayu. Seperti Gen-2, kita
tidak akan sebut sebagai 'Gen-dua'. Ini adalah sesuatu yang perlu kita
perbetulkan kerana bahasa asas jati diri kita," katanya.
Beliau berkata
demikian semasa menjadi anggota panel dalam Majlis Dialog Bahasa Melayu
sebagai Bahasa Ilmu Tinggi anjuran Universiti Malaysia Terengganu di
sini, hari ini.
Teo yang juga
anggota pelaksana Pusat Majlis Bahasa Melayu Institusi Pengajian Tinggi
Nusantara turut mengumpamakan ejaan bahasa yang dipinjam daripada bahasa
Inggeris sebagai 'separuh ular dan separuh belut' dan menyarankan ejaan
itu diperbetul segera.
"Contohnya
dalam penggunaan perkataan 'presint' yang merupakan istilah dalam bidang
perancangan bandar. Putrajaya sememangnya bandar yang dirancang, maka
penggunaan perkataan itu adalah sesuai.
"Bagaimanapun,
jika mahu menggunakan 'presint' adalah lebih sesuai jika dibuang huruf
't' kerana akhiran 't' adalah daripada perkataan bahasa Inggeris seperti
'sentiment' yang ditukar kepada sentimen dan 'parliament' menjadi
parlimen," katanya.
Teo secara
berseloroh juga berkata untuk membuat satu papan tanda baharu hanya bagi
membetulkan huruf 't' akan memakan belanja, maka "lebih baik cat sahaja
huruf 't'".
Selain itu, beliau berkata penggunaan bahasa juga perlu mengambil kira golongan sasar.
"Jika disasarkan kepada rakyat, adalah lebih afdal jika menggunakan bahasa asal," katanya.
Beliau merujuk
kepada istilah perubatan yang diterjemahkan iaitu hipertensi lebih mudah
disebut darah tinggi, strok (angin ahmar) dan diabetes (kencing
manis).
"Jika bahasa
itu melibatkan ilmu, tidak salah jika kita pinjam bahasa Inggeris untuk
memudahkan asimilasi dengan dunia ilmu yang lebih luas. Tetapi untuk
memupuk kefahaman orang, lebih afdal kita guna bahasa asal yang ada,"
jelasnya. - Bernama
No comments:
Post a Comment